Membuka cerita, Abdullah Muhammad berkata, Bebiri Hotel Empire yang beroperasi di Muar bermula dengan hanya 27 ekor biri-biri yang dibeli daripada adiknya, pada 2021.
Menjalankan perniagaan berkonsepkan pawah moden, akuinya, kaedah itu bukanlah satu bisnes yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan Bebiri Hostel bertujuan meningkatkan pengeluaran daging biri-biri dalam negara.
“Penubuhan syarikat ini terinspirasi daripada sistem pawah yang pernah dijenamakan semula pada 2022 dengan menggunakan sistem pawah moden.
“Kita juga ingin memberi peluang kepada mana-mana individu yang tiada tanah, kandang, padang ragut, masa dan kepakaran perubatan menternak untuk memiliki ternakan sendiri,” katanya kepada Majoriti.
Abdullah Muhammad (kanan) ingin memberi peluang kepada mana-mana individu yang tiada tanah atau kandang untuk memiliki ternakan.
Perniagaan ternakannya berkembang dengan sangat pesat sehingga nilai jualan pada tahun pertama mencecah angka RM700,000 setahun, pada 2022.
“Kemudian pada 2023, kita berjaya menjangkau hasil sebanyak RM1.4 juta setahun, manakala setakat Januari hingga Oktober tahun ini, kita sudah mencapai lebih RM2.15 juta,” kongsinya lagi.
Mengimbau kembali perjalanan anak ketiga daripada sembilan beradik ini, latar belakang kariernya sama sekali tiada kaitan dengan perniagaan mahupun industri agroternak.
Bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memulakan kerjaya di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, pada 2013 sejurus tamat pengajian pada tahun sama.
Abdullah (kiri) bersama dengan anak pertama, ibu dan isterinya.
“Sepanjang lima tahun perkhidmatan, saya bertanggungjawab dalam mengutip zakat dan memberi penerangan kepada kakitangan kerajaan serta swasta tentang kepentingan zakat.
“Namun pada 2018, saya memilih untuk meninggalkan pekerjaan ini dengan tekad untuk melakukan sesuatu yang lebih mencabar.
“Kemudian barulah saya belajar buat bisnes, macam-macam jenis perniagaan dijalankan termasuk perdagangan saham dan beberapa lagi.
“Disebabkan langsung tiada pengalaman dalam bidang ini, saya akhirnya mengalami kerugian besar dan bermulalah episod kegagalan saya ketika itu,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Muamalat dan Kewangan Islam itu.
Ujian demi ujian menimpa sehinggalah pada 2019, Abdullah Muhammad masih gagal mendapatkan pendapatan tetap, sedangkan isterinya sedang meniti hari untuk melahirkan anak kedua mereka.
Akuinya, dia ketika itu benar-benar berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sumber kewangan yang stabil bagi membiayai rawatan bersalin isteri.
Abdullah (tiga dari kanan) menerima lawatan daripada Angkasa Johor dan Angkasa Pusat.
Sehinggalah dia akhirnya memulakan langkah sebagai ejen kepada Jenama Pencipta Kediaman Sihat, Cuckoo, yang mana usahawan bersemangat waja itu berhasil mencapai jualan 10 unit dalam bulan pertamanya, dengan menjana pendapatan sekitar RM3,000.
“Alhamdulillah kami boleh bertahan dengan pendapatan berkenaan meskipun realitinya, komitmen saya lebih tinggi berbanding nilai tersebut.
“Jadi dari situ saya dapatkan pengalaman berkunjung dari rumah ke rumah, merekrut ejen sehinggalah terdapat lebih 50 ejen di bawah kendalian saya.
“Kejayaan yang diraih membolehkan saya dinaikkan pangkat menjadi pengurus pada Mei 2020,” beritahunya.
Bagaimanapun, panas tidak sampai ke petang. Pandemik Covid-19 yang melanda negara kira-kira empat tahun lalu menyaksikan rencana yang sudah diatur teliti, direnggut sekelip mata.
Abdullah Muhammad sekali lagi terhimpit. Aktiviti perniagaannya terhenti sehinggalah dia memutuskan untuk mendalami ilmu perniagaan melalui program latihan dan bimbingan Richworks yang dikendalikan mentor usahawan terkemuka negara, Datuk Wira Dr Azizan Osman.
Abdullah Muhammad (kiri) mendalami ilmu perniagaan melalui program latihan dan bimbingan Richworks.
Program ini katanya, membuka mata terhadap potensi perniagaan sebenar dan bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar itu kemudian mengambil pendekatan untuk memulakan langkah menjual produk makanan tradisional iaitu serunding halia.
“Namun tak sangka pula ketika itu timbul cabaran dari segi logistik untuk mengepos serunding dari Labuan ke lokasi lain.
“Penghantaran produk mengambil masa yang lama, nak pergi ke pejabat pos pun susah disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hingga memaksa saya menghentikan operasi selepas enam bulan.
“Kemudian saya beralih pula kepada jualan nasi lemak yang dihidangkan bersama serunding halia untuk menampung kehidupan kami sekeluarga,” ujarnya yang dilahirkan di Skudai, Johor Bahru, Johor.
Abdullah (kiri) ketika berkhidmat sebagai ejen Cuckoo.
Mangsa scam
Kongsi Abdullah Muhammad lagi, jualan nasi lemaknya juga tidak mampu bertahan lama, sebelum dia membuat keputusan pulang seketika ke Semenanjung pada penghujung 2021 dengan harapan untuk mencari peluang perniagaan baharu.
Untuk melaksanakan bisnes baharu, cerita bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi, dia perlu membuat permohonan pinjaman wang untuk membiayai segala operasi.
“Saya tiada kerja tetap, komitmen pun sudah beberapa bulan tidak dilunaskan, jadi memang masa itu saya sangkut, hampir bankrap.
“Ada beberapa orang di Facebook yang seperti boleh dipercayai untuk saya buat pinjaman, tetapi rupanya tindakan tersebut menjerumuskan saya dalam kes penipuan.
“Pihak yang kononnya mengaku sebagai peminjam wang itu menggunakan akaun saya untuk menipu individu lain, sehingga akhirnya terdapat lima aduan yang dilaporkan atas nombor akaun bank saya,” ceritanya.
Tidak dinafikan, dugaan demi dugaan yang menimpa lelaki itu membuatkan dirinya terduduk, namun untuk berhenti melangkah bukan sesekali jalan yang ingin dilaluinya.
Perniagaan pawah biri-biri yang dikendalikan Abdullah Muhammad (dua dari kanan) kini menawarkan peluang kepada mereka yang berminat untuk terlibat dalam industri ternakan.
Mulakan sistem pawah moden
Meskipun terjebak dengan penipuan, usahawan ini nekad meneruskan perjalanannya dalam dunia bisnes.
Kali ini ujarnya, inspirasi baharu tiba selepas melihat peluang dalam bidang penternakan biri-biri yang diusahakan adiknya di Muar.
Menggunakan ilmu perniagaan yang diperolehi, Abdullah mencetuskan idea untuk memperkenalkan sistem pawah biri-biri secara moden.
Menurutnya, perniagaan pawah biri-biri yang diterajuinya kini menawarkan peluang kepada mereka yang berminat untuk terlibat dalam industri ternakan, sambil memastikan model perniagaan yang adil dan menguntungkan bagi semua pihak terlibat.
“Pada Disember 2021, dengan bantuan adik yang mengajar tentang cara penjagaan biri-biri, saya mendaftarkan syarikat menggunakan nama isteri dan mula membina jenama Bebiri Hostel Empire.
“Sepanjang 2022, saya berjaya menarik minat ramai untuk menyertai projek pawah dan jumlah biri-biri di kandang kini meningkat sehingga lebih 1,200 ekor, dengan jumlah pelanggan melebihi 530 orang.
“Pada awal operasi, pasukan ini bermula dari bawah. Pejabat kami pula hanyalah di bawah pokok rambutan dan ruang tamu rumah mak saya, namun kini Alhamdulillah kita sudah memiliki ladang sendiri,” katanya yang sudah mempunyai lebih 20 kakitangan di bawahnya.
Bebiri Hostel Empire berjaya menerima pengiktirafan daripada Richworks atas kejayaan melebarkan perniagaan.
Dengan pendekatan inovatif dan sistem perniagaan yang telus, Abdullah Muhammad kini menjadi contoh pengusaha yang berjaya membina semula kehidupan selepas menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan.
Ujarnya, mengusahakan perniagaan pawah biri-biri moden tidak semudah yang disangka.
“Antara cabaran utama adalah untuk mendapatkan kepercayaan orang awam, kerana ia adalah kunci kejayaan dalam perniagaan ini.
“Kebanyakan orang tidak akan percaya kepada sesuatu yang mereka tidak nampak sendiri. Jadi, untuk membina kepercayaan, saya mula dengan meminta ahli keluarga dan rakan terdekat berkongsi tentang perniagaan ini.
“Selain itu, menternak biri-biri juga mempunyai proses yang panjang. Dari mengawan, bunting selama lima bulan sehinggalah beranak.
“Ada banyak risiko sepanjang proses ini seperti anak tidak mahu menyusu, ibu tidak cukup susu, atau anak dilahirkan pramatang atau cacat,” jelasnya.
Bebiri Hotel Empire beroperasi di Muar sejak Disember 2021.
Dalam pada itu, Abdullah Muhammad juga berkongsi, Bebiri Hostel kini mempunyai lebih daripada 530 penternak dan jumlah tersebut terus meningkat.
“Di Johor sahaja, kami ada lebih 200 penternak, manakala di Selangor sekitar 130 hingga 150,” tambahnya.
Dengan jumlah penternak yang semakin bertambah, Abdullah Muhammad berharap agar lebih ramai masyarakat akan memahami tentang keunikan perniagaan pawah dan mula berminat untuk menternak biri-biri secara moden. — Majoriti